Semasa anda hamil, perasan tak disekiling bahagian gelap di payudara anda akan timbul biji-biji kecil? Terdapat pelbagai perubahan pada payudara ibu yang sedang hamil dan salah satunya adalah biji-biji kecil ini, untuk ibu yang pertama kali hamil situasi ini mungkin menimbulkan sedikit kerisauan. Biji-biji kecil ini sebenarnya adalah Kelenjar Montgomery dan ia amat membantu untuk penyusuan nanti.
Apa itu Kelenjar Montgomery?
Kelenjar Montgomery ialah kelenjar-kelenjar kecil yang merembeskan minyak, ia terdapat di sekeliling puting atau tampuk hitam(areola) payudara. Kelenjar ini sudah sedia ada sebelum ibu hamil lagi, namun peningkatan hormon kehamilan menyebabkan kelenjar ini semakin ketara kelihatan apabila ibu sedang hamil.

Bagaimana Kelenjar Montgomery boleh membantu dalam penyusuan?
Nampak kecil, namun kelenjar ini mempunyai tugas amat penting dalam penyusuan.
Semasa hamil, Kelenjar Montgomery merembeskan cecair yang berfungsi untuk menganjalkan serta ‘membersihkan’ payudara supaya bebas dari kuman merbahaya. Cecair ini juga memberi kelembapan yang sesuai untuk puting supaya apabila tiba waktu menyusui bayi, penyusuan dapat dimulakan dengan lekapan yang lebih baik.
Apabila bayi lahir, rembesan ini juga dikatakan mempunyai bau seakan bau air ketuban membuatkan ia tidak asing untuk bayi serta menggalakkan untuk bayi ke arahnya(payudara), untuk mendapatkan makanannya iaitu susu ibu.
Cecair ini juga mengekalkan kelembapan pada payudara serta mengekalkan persekitaran yang sentiasa bersih pada payudara, oleh itu anda tak perlu cuci payudara sebelum menyusukan bayi kerana ia sentiasa bersih.
Pelihara payudara anda.
Sesetengah wanita masih bingung, ‘perlu ke saya cuci payudara sebelum menyusui bayi?’
Dengan adanya Kelenjar Montgomery berfungsi untuk merembeskan cecair yang bertindak sebagai agen pembersih di payudara, anda tidak perlu mencuci payudara sebelum menyusui bayi. Malahan, cucian yang kerap atau cucian dengan pencuci berupaya menghakis lembapan yang telah dibekalkan oleh rembesan cecair dari Kelenjar Montgomery serta membuatkan payudara anda menjadi kering.
Elakkan memicit-micit ketulan kecil ini juga kerana tindakan ini boleh menyebabkan Kelenjar Montgomery menjadi bengkak.
3 Fakta menarik Kelenjar Montgomery.
- Kelenjar Montgomery bukan saja boleh mengeluarkan cecair melembap, malahan susu juga.
- Secara purata wanita mempunyai diantara 10-15 Kelenjar Montgomery.
- Lelaki juga mempunyai Kelenjar Montgomery.